Sejak
beberapa bulan kebelakangan ini, MRT Watch telah mengetengahkan
pelbagai isu serta masalah yang timbul termasuk melahirkan kebimbangan
kami mengenai tahap keselamatan projek MRT jika senario ini berterusan
tanpa tindakan konkrit daripada pihak kerajaan mahupun MRT Corp sendiri.
Untuk
memastikan senario ini berubah, kami ingin mendesak agar pihak kerajaan
tidak menyambung kontrak CEO MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid yang
dijangka tamat sekitar awal bulan Ogos tahun ini.
Ini
penting untuk memastikan MRT Corp dan juga projek pembinaan jajaran MRT
Kajang-Sg Buloh diurus oleh peneraju yang berkredibiliti dan
berkebolehan bagi projek mega pengangkutan awam seperti MRT ini. Kami
turut mendesak pihak MRT Corp untuk segera mendedahkan pelan keselamatan
dan kecemasan yang ada demi memberi keyakinan kepada rakyat umumnya dan
pengguna pengangkutan awam di Lembah Kelang khususnya.
Sekiranya
Datuk Azhar disambung kontraknya, kami yakin MRT Corp akan terus
dibelenggu masalah demi masalah akibat kepimpinan korporat yang tidak
punya kredibiliti serta tidak bertanggungjawab. Projek MRT tidak
akan berjalan lancar dengan tahap keselamatan yang maksimum serta tidak
memberi sebarang jaminan keselamatan berikutan kemalangan demi
kemalangan yang membahayakan nyawa rakyat.
MRT
Corp sebagai sebuah syarikat GLC akan terus dirundung pelbagai masalah
jika diterajui oleh seseorang yang tidak punya tahap integriti yang
tinggi. MRT Corp akan terus disalahguna serta dimanipulasi jika terus
menerus diterajui oleh ketua eksekutif yang tidak amanah.
Projek
mega pengangkutan awam darat seperti MRT ini juga tidak akan dapat
memberi perkhidmatan yang optimum kepada rakyat sekiranya peneraju MRT
Corp tidak mempunyai kepakaran serta trek rekod pengalaman yang sesuai
dengan industri pembinaan serta pengangkutan.
Projek MRT sering dilanda insiden demi
insiden yang mengerikan seperti kes tanah mendap di Jalan Bukit
Bintang, kemalangan cerucuk logam yang telah jatuh menghempap kenderaan
awam di Pusat Bandar Damansara serta banjir kilat akibat daripada paip
pecah di Mutiara Damansara hingga mengakibatkan keselamatan awam dan
kesesakan teruk dikawasan tersebut, harus menjadi tanda aras penilaian
terhadap prestasi kerja Datuk Azhar sejak menerajui MRT Corp.
Prestasi
kerja hambar Datuk Azhar mencapai tahap terendah apabila beliau
berkeras untuk membina terowong pejalan kaki di bawah platform KL
Sentral. Cadangan yang dijangka menelan belanja sebanyak RM350 juta bagi
pembinaan 120m terowong pejalan kaki menunjukkan bagaimana Datuk Azhar
sanggup menyeleweng wang pembayar cukai tanpa rasa bertanggungjawab sama
sekali.
Hala
tuju projek pengangkutan awam mega MRT ini harus dipikul oleh seseorang
yang punya tahap integriti yang tinggi, mempunyai trek rekod serta
kepakaran dan kebolehan dalam industri ini. Kerajaan Malaysia harus
mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan bahawa slogan "Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" menjadi amalan serta tahap
kebertanggungjawaban serta integriti menjadi kayu ukur kepimpinan.
Projek
MRT tidak mempunyai pilihan untuk gagal dan keselamatan serta nyawa
rakyat tidak boleh diperjudikan. Kerajaan tidak punya pilihan selain
daripada mengambil keputusan tegas untuk tidak memperbaharui kontrak
perkhidmatan Datuk Azhar sebagai CEO MRT Corp.
MRT Watch
16 Julai 2014
....
Kangkung
http://tokeikangkung.blogspot.com/
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !