Sedih tidak terkira rasanya ketika mendengar berita Tuan Guru Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin bertambah uzur, walaupun ada juga
ketikanya beliau menyampaikan juga ucapan dan tazkirah di beberapa
tempat.
Keadaan tokoh pemimpin yang satu ini mengundang doa dari
umat Islam di sana sini semoga beliau dipulihkan dari keuzuran untuk
meneruskan perjuangan.
Beliau kini berumur 82 tahun dan baru-baru
ini beliau menggagahkan diri menyampaikan Kuliah Subuh di masjidnya di
Pulau Melaka dengan suara yang tertahan-tahan, mengundang rasa pilu para
jamaah.
Kasih sayang rakyat kepadanya sepanjang masa justeru
sepanjang hayatnya beliau telah mendambakan perjuangannya kepada Islam
melalui wadah PAS. Menyampaikan ribuan kuliah dan ceramah, melayani
rakyat pelbagai kaum dan agama di mana-mana.
Beliau adalah legasi
yang akan terukir dalam sejarah dan akan dikenang lama, bahawa seorang
pemimpin yang menjalani kehidupan serba sederhana, bersuara lembut,
tetapi tegas telah mengambil peranan penting mewarnakan perjuangan
politik Islam di tanah airnya.
Kini Kerajaan Negeri Kelantan
telah menubuhkan 'Institut Pemikiran Tok Guru' sebagai mengenang jasanya
bukan saja sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun, bahkan
sebagai tokoh ulung pimpinan dan pemikir gerakan Islam PAS sejak puluhan
tahun.
Penubuhan institut diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini.
Menteri
besar itu berharap, idea, pemikiran, ilmu dan dedikasi yang selama ini
dikongsikan oleh Tok Guru sejak sekian lama termasuk di peringkat
kerajaan selama 23 tahun dapat dikongsi bersama oleh orang ramai.
Kekuatan
Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz terletak kepada istiqamah perjuangannya,
menebarkan dakwah sepanjang hayat, ketegasannya mempertahankan PAS dari
serangan musuh, menyuntik semangat perjuangan kepada generasi lama dan
baru, wawasannya yang sangat jauh ke depan – melampaui zaman – serta
kemampuannya menterjemahkan kesyumulan Islam di tengah politik baru
Malaysia. Maka kepimpinannya diterima oleh semua kaum.
Untuk
selama puluhan tahun, sepanjang perjuangannya, Tuan Guru menentang
habis-habisan assobiyah (perkauman) kerana baginya perkauman itu adalah
sebuah kejahatan, menentang kemanusiaan dan menjadi musuh Islam.
Tuan
Guru Nik Abd Aziz menjadi penghalang utama yang berada di tengah jamaah
PAS dari sebarang usaha untuk menggabungkan PAS dengan Umno, atas nama
apapun. Demikian perjuangannya yang panjang, penuh makna.
Sepanjang
perjuangannya,Tuan Guru mengatur strategi, mendekati pelbagai golongan
masyarakat, termasuk golongan bukan Islam, mendedahkan tasawuur Islam
kepada mereka hingga mereka faham. Tuan Guru lebih gemar menggunakan
hujjah, khususnya ketika menghadapi politik musuh, dengan menggunakan
hujah Al-Quran, Hadis dan Sunnah serta mantiq (lojik akal).
Dilahirkan
pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu. Anak kedua
daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan
isterinya, iaitu Tuan Sabariah Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang
cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
Sebelum menjadi Menteri
Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah
mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah
Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya
terletak di Kelantan.
Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif
menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi,
beliau akan menjadi imam kepada solat Subuh dan kemudiannya memberikan
kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah
sahaja dari rumahnya.
Beliau mematikan semua lampu di bilik MBnya
ketika solat di siang hari kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan
untuk kepentingan dirinya.
Beliau mendiami sebuah rumah kampung
biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Tidak berpagar sama
sekali dan tiada pengawal keselamatan untuk menjaganya.
Pada
tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan
beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di
Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau
menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18
tahun.
Pada tahun 2009, beliau diletakkan di antara 50 tokoh
Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul ‘The 500
Most Influential Muslims’.
Tuan Guru sangat bersimpati dengan
Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana walaupun uzur, beliau datang juga ke
mahkamah di Putrajaya dan memberi sokongan moral kepada DS Anwar Ibrahim
di mana pernah pada suatu ketika dulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz
menyifatkan DS Anwar sebagai seorang ‘Budak bijak yang dicemburui Umno.
Itulah
Tuan Guru Nik Abd Aziz, perjuangangannya akan diteruskan dari generasi
ke generasi. Beliau adalah kepimpinan teladan, simbol kepimpinan
Malaysia yang merentasi batas kaum dan agama, iaitu hasil pengamatan dan
pengalaman serta kebijaksanaannya menterjemahkan tasawuur Islam ke
tengah masyarakat majmuk di negara ini.
Generasi pendukung PAS
kini dan akan datang sewajarnyalah mencontohi kepimpinan beliau. Tidak
bersikap jumud, tetapi terbuka dan bijaksana.
Kita berdoa kepada Allah s.w.t, supaya memulihkan kesihatan Tuan Guru ini.
ABD. SYUKUR HARUN
HARAKAH



0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !