Projek Pembinaan Menara Warisan Merdeka - Tokei Kangkung
Headlines News :
Home » » Projek Pembinaan Menara Warisan Merdeka

Projek Pembinaan Menara Warisan Merdeka

Written By Reformis Detik on Tuesday, April 22, 2014 | 5:35 AM


Merujuk kepada kenyataan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah pada 19 Mac 2014, beliau telah menyatakan bahawa pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 118 tingkat telah dimulakan pada tahun ini setelah tertangguh selama dua tahun.

Projek pembinaan Menara Warisan Merdeka ini dibangunkan sepenuhnya oleh PNB. PNB merupakan entiti pelaburan bagi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan ia secara khusus berperanan untuk menilai, memilih dan memperoleh portfolio menerusi saham-saham kukuh daripada pelbagai syarikat yang berpotensi.

Projek Pembinaan Menara Warisan Merdeka ini dirancang dan telah diumumkan dalam peruntukan Bajet 2010. Kos pembinaan menelan belanja sebanyak RM 5 bilion dan ia bakal menjadi bangunan menara ketiga tertinggi di dunia. Ia dibina di atas tapak berkeluasan 19 ekar dan didirikan di sekitar kawasan sekitar Stadium Negara dan Stadium Merdeka. Pada awalnya, ketinggian yang dicadangkan ialah setinggi 100 tingkat kemudian dinaikkan kepada 118 tingkat. Menara ini akan menempatkan sejumlah unit kondominium mewah, kompleks perniagaan dan hotel. Sudah pasti, kelewatan pembinaan dan perubahan struktur ketinggian bakal menelan kos yang lebih tinggi daripada RM 5 bilion.
 

Daripada maklumat yang kita perolehi, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) telah mengadakan satu kajian tinjauan pendapat awam pada 29 Oktober hingga 7 November 2010. Jumlah responden seramai 3,510 orang. Dalam penemuan kajian tersebut, 38.4% responden tidak bersetuju dengan projek pembinaan berkenaan dan sebanyak 41.9% responden tidak bersetuju dengan lokasi pembinaan yang dicadangkan. Manakala, sebuah badan penyelidikan swasta iaitu Merdeka Centre juga telah menjalankan kajian pada suku keempat 2010 dan mendapati sebanyak 65% daripada 1,005 orang responden tidak bersetuju dengan projek pembinaan ini. Maka, melihat kepada perkembangan terkini, PNB tetap meneruskan projek pembinaan Menara Warisan Merdeka walaupun rakyat menyuarakan bantahan.

Terdapat beberapa isu yang wajar dipertimbangkan mengenai projek ini, iaitu;

1.    Tapak Projek Menara Warisan Merdeka

Pembinaan Menara Warisan Merdeka ini akan menjejaskan hakisan sejarah negara kerana Taman Merdeka Negara dimasukkan ke dalam zon penampan kepada Stadium Merdeka dan Stadium Negara dan ia dilindungi di bawah Seksyen 25 (1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang menyebut "Jika suatu tapak tidak mempunyai warisan semula jadi atau warisan kebudayaan yang penting tetapi Pesuruhjaya berpuashati bahawa tapak itu patut ditetapkan sebagai tapak warisan disebabkan oleh kedekatannya kepada dan untuk perlindungan dan penambahbaikan tapak yang lain yang ditetapkan sebagai tapak warisan di bawah seksyen 24, Pesuruhjaya boleh menetapkan tapak itu sebagai tapak warisan." 

Perkara ini juga boleh dirujuk kepada jawapan bertulis Menteri Pelancongan kepada Ahli Parlimen Serdang di Dewan Rakyat pada 30 September 2013.

Oleh yang demikian, kami ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan dan DBKL berhubung status terkini tapak projek berkenaan. Apakah hasil feasibility study termasuk kos dalam pemilikan tanah berkenaan? Status tanah berkenaan amat penting dan ia mungkin akan melibatkan peruntukan perundangan. Pihak DPPWP tidak akan teragak-agak untuk mengambil kira tindakan daripada aspek perundangan sekiranya status tanah berkenaan bercanggah dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

2.    Kepentingan Outcome Based Budget dan Keperluan Menara Warisan Merdeka

Berdasarkan kepada konsep outcome based budget, prinsip prioriti perbelanjaan dan amalan kewangan berhemah, maka pembinaan Menara Warisan Merdeka harus dinilai semula kerana ia dianggap tindakan pemborosan serta tidak releven. Tatkala rakyat berhadapan dengan tekanan kewangan semasa, kenaikan inflasi, kemelut hutang isi rumah dan ketidakmampanan pendapatan boleh guna isi rumah khususnya dalam kelompok 40% terendah di bandar, maka kami menolak projek pembinaan ini yang dijangka tiada keperluan serta tidak memberikan limpahan ekonomi khususnya kepada kelompok ini.

Malah, dalam satu laporan kajian Syarikat C H Williams Talhar & Wong Sdn. Bhd. (WTW), kawasan Lembah Klang menghadapi masalah lebihan penawaran. Segmen kediaman kondominium mewah merekodkan lebihan paling tinggi iaitu sekitar 32% daripada 27,000 unit yang ditawarkan tidak termasuk jangkaan lebih kurang 5,204 unit baharu pada tahun 2014. Selain kondominium mewah, kadar kekosongan unit pejabat mencapai 14 peratus daripada 90 juta kaki persegi yang ditawarkan. Begitu juga kekosongan ruang pusat membeli belah adalah 10 peratus daripada 44 juta kaki persegi yang disediakan pada tahun 2013.

3.    Kesesakan Jalan Raya

Kawasan sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara khususnya di Jalan Hang Tuah, Jalan Maharajalela dan Jalan Stadium adalah lokasi premium yang berdekatan dengan kawasan ‘Segitiga Emas’ Kuala Lumpur. Kesesakan jalan di kawasan-kawasan berkenaan bukan hanya tertakluk pada waktu puncak semata-mata tetapi berlaku dalam kebanyakan waktu. Tambahan pula, kawasan tersebut berdekatan dengan beberapa buah institusi pendidikan seperti SMK Victoria (Victoria Institution), SRJK (C) Davidson dan Methodist Boy’s School. Projek pembinaan berkenaan akan meningkatkan kesesakan trafik dan berkemungkinan boleh mengganggu persekitaran sekolah serta kawasan perumahan yang berdekatan.

Berdasarkan TIGA (3) faktor utama ini, maka DPPWP membantah projek pembinaan Menara Warisan Merdeka dan menggesa pihak kerajaan dan PNB segera menghentikan projek berkenaan. Pihak kami akan berusaha untuk berdialog dan menghantar memorandum kepada pihak PNB pada 24 April 2014 (Khamis) dalam waktu yang akan ditetapkan nanti.

Sekian, terima kasi
h 

Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin
Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan


.....
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : Tranungkite.Net
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. Tokei Kangkung - All Rights Reserved
Terima kasih kepada Creating Website