KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat bukan sahaja menyokong 
badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan Himpunan Membantah Cukai 
Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini bahkan akan turut serta 
dalam himpunan itu.
Menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, 
Pakatan Rakyat akan menggerakan seluruh ahli dan penyokongnya untuk 
menyatakan bantahan tindakan kerajaan yang terus membebankan rakyat 
dengan kenaikan kos hidup melalui GST.
Beliau turut menjangkakan 
ratusan ribu orang yang akan menyertai himpunan kemuncak ini setelah 
rakyat saban hari terus dibebani dengan kenaikan harga barang berterusan
 dengan GST yang akan diperkenalkan pada tahun depan.
"Himpunan 
ini akan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur antara jam 2 hingga 5 
petang dan kemudian bergerak ke  Dataran Merdeka," katanya dalam sidang 
media selepas mengadakan mesyuarat bersama pimpinan Pakatan Rakyat di 
Pejabat Agung PAS hari ini.
Mohammad turut memberi jaminan 
Himpunan Bantah GST yang diadakan pada cuti umum sempena Hari Pekerja 
itu akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan.
Naib 
Presiden PKR Tian Chua pula berkata, Himpunan 1 Mei ini amat penting 
sebagai amaran rakyat kepada kerajaan agar menguruskan kewangan negara 
dengan baik. 
Katanya, GST akan terus dilaksanakan pada tahun 
depan, keadaan ini akan menambah bebanan rakyat dengan pelbagai kesan 
termasuklah inflasi akhirnya hutang individu dan keluarga akan 
meningkat.
"Melalui GST ini kerajaan akan membiarkan golongan 
bawahan berterusan didera. Himpunan 1 Mei ini sangat penting. Pakatan 
Rakyat akan turun mengingatkan tanggungjawab kerajaan untuk memberi 
keadilan pada rakyat," katanya.
Pengerusi Lajnah Pekerja dan 
Pengguna PAS Pusat Anuar Tahir berkata Himpunan anjuran NGO itu akan 
menjadi platform rakyat untuk memberi isyarat jelas bahawa mereka tidak 
dapat bersetuju dengan GST.
"1 Mei sangat sesuai untuk berhimpun 
di Kuala Lumpur. Insyallah himpunan paling aman," katanya yang mengajak 
seluruh rakyat bersama-sama dalam himpunan itu.
Di Parlimen 
sekarang ini sedang membahaskan Rang Undang-undang GST, dan minggu depan
 rang undang-undang itu akan diluluskan untuk dilaksanakan pada tahun 
2015 sebagaimana yang diwar-warkan kerajaan sebelum ini.
 
 



 
 
 
 
 

0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !