Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) meminta Umno, PKR dan PAS 
menjelaskan isu hudud kepada rakan kongsi masing-masing khasnya kepada 
DAP dan MCA supaya mereka memahami hukum Islam itu.
 Naib Presiden Abim, Hasri Harun, berkata Abim berpendapat keyakinan 
terhadap undang-undang syariah perlu dibina oleh Umno, PAS dan PKR 
dengan tumpuan terhadap stake holder utama BN dan Pakatan Rakyat iaitu 
MCA (BN) dan DAP (Pakatan Rakyat).
 
"Ini kerana kenyataan yang dikeluarkan pemimpin MCA dan DAP seolah-olah
 menggambarkan Umno, PAS dan PKR gagal memberikan pemahaman yang 
sepatutnya terhadap undang-undang syariah kepada kedua-dua rakan politik
 mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau merujuk kepada beberapa kenyataan yang dikeluarkan berhubung pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.
 
Kenyataan dimulai dengan sokongan daripada Umno kepada kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukuman hudud di negeri tersebut.
 
Ia susulan daripada pengumuman Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad 
Yakub mengenai Kelantan akan meminta wakil rakyatnya membawa rang 
undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat untuk membolehkan Rang 
Undang-undang jenayah Syariah II Kelantan dilaksanakan.
 
Susulan itu, Karpal Singh membuat bantahan dengan berkata Parlimen 
tidak boleh meluluskan permohonan itu kerana undang-undang itu 
bertentangan dengan perlembagaan.
 
MCA juga membuat kenyataan bantahan dan meminta DAP memastikan PAS tidak melaksanakan undang-undang itu di Kelantan.
 
Hasri berkata, Abim berpendapat pelaksanaan hukuman hudud memerlukan 
keinginan politik yang kuat dalam bentuk sokongan serta pemahaman 
daripada MCA dan DAP.
 
“Demi membentuk political will yang kuat ini, Umno, PAS dan PKR perlu 
menggalas tanggungjawab untuk mengetengahkan pemahaman menyeluruh serta 
akademik terhadap pelaksanaan hudud.
 
“Umno, PAS dan PKR perlu mengelak retorik perkauman serta keagamaan yang keterlaluan dalam menangani polemik itu.
 
"Semua pihak perlu bertanggungjawab untuk mengelakkan Islamofobia 
daripada disemarakkan ekoran daripada isu ini, yang boleh menjejaskan 
kestabilan politik serta hubungan antara agama di negara ini," katanya.
 
Beliau berkata, Abim memetik kajian yang dilakukan Pusat Kajian 
Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) pada 2012 yang 
mendapati 42% masyarakat Cina percaya undang-undang Islam dapat menjamin
 keadilan untuk semua.
 
"Seharusnya Umno, PAS dan PKR memanfaatkan fakta ini untuk 
mengetengahkan dakwah kepada MCA, DAP dan PKR serta masyarakat bukan 
Islam," katanya.
 
Katanya, pelbagai kenyataan yang dikeluarkan pemimpin MCA dan DAP 
menggambarkan pemahaman serta persepsi mereka terhadap hudud masih 
rendah serta negatif.
 
“Pemahaman yang betul mampu mengetengahkan keindahan undang-undang 
Islam kepada masyarakat bukan Islam di negara ini,” katanya. 
TMI
– 4 April, 
2014.
 
 


 
 
 
 
 

0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !