KOTA BHARU - Susulan hasrat Kerajaan Kelantan mahu membentang rang 
undang-undang persendirian untuk perlaksanaan hudud di negeri ini, Pas 
dan Umno perlu melobi wakil rakyat Islam bagi mendapatkan kelulusan 
pembentangan tersebut.
 
 Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad bagaimanapun 
berkata, takrifan terbaru tidak memerlukan pindaan Perkara 76 (A) 
Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hudud dilaksanakan di 
Kelantan.
 
 “Ia bagus. Pas dan Umno sepatutnya bersedia melobi untuk menyokong rang
 undang undang ini, malah kebanyakan hakim sudah mentakrifkan Islam 
adalah agama persekutuan di negara ini. Ia sudah cukup untuk 
melaksanakan enakmen jenayah undang-undang Islam.
 
 “Kuasa eksklusif berkaitan Islam sememangnya hak kerajaan negeri dan 
kita (Kerajaan Pusat) tiada masalah kerana itu sudah hak mereka, soalnya
 kenapa tidak buat? Kenapa salahkan pihak lain?,” katanya kepada media 
selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu 
(Kada) di Lundang, semalam.
 
 Beliau berkata demikian mengulas kenyataan hukum hudud dapat 
dikuatkuasakan di negeri ini selewatnya Januari depan sekiranya tiada 
halangan Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan rang undang-undang 
persendirian dibentangkan di Parlimen.
 
 Alwi yang juga Adun Kok Lanas turut menasihatkan kerajaan negeri tidak 
perlu takut dan meminta mengazetkan perkara tersebut bagi meyakinkan 
semua pihak.
 
 “Kerajaan Pusat hanya kata ada kekangan untuk laksanakannya, bukan 
menentang. Maksud tersebut perlu difahami, pemahaman rakyat perlu 
jelas,” katanya.
 
 


 
 
 
 
 

0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !