MH370 Mencabar Kredibiliti Wartawan - Tokei Kangkung
Headlines News :
Home » » MH370 Mencabar Kredibiliti Wartawan

MH370 Mencabar Kredibiliti Wartawan

Written By Abdullah Othman on Sunday, April 20, 2014 | 3:59 PM


Yang mana satu benar, dan yang mana satu pula harus dipercayai? Akan tetapi, laporan itu dibuat oleh wartawan dan bukannya orang biasa yang cuba menjadi pengamal media tidak bertauliah di mana-mana laman sosial.

Lagipun, bukankah kerjaya wartawan bertanggungjawab melaporkan berita dan fakta yang telus serta sahih. Jadi, ada kemungkinan laporan di dada akhbar dan media elektronik itu adalah benar.

Tanggapan berbentuk sedemikian menjadi antara buah mulut masyarakat sejak dunia digemparkan dengan insiden penuh misteri, kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas.

Kekeliruan mula timbul apabila pelbagai jenis laporan berita disajikan yang mana memperlihatkan media asing lebih terdorong untuk mensensasikan isu di luar jangkaan ini berbanding media tempatan.

Ekoran itu, masyarakat mula mempertikaikan akan kesahihan sesuatu laporan berita sekali gus merungkai akan kewibawaan dan integriti komuniti bergelar wartawan.

DI MANAKAH ETIKA?

Mereka mempersoalkan di manakah etika kewartawanan semasa melaporkan insiden itu yang dilihat sengaja mensensasikan insiden itu tanpa mengambil kira sama sekali perasaan anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

Mengambil antara satu contoh laporan muka depan akhbar The Daily Mail, London yang mendakwa juruterbang pesawat malang Kapten Zaharie Ahmad Shah mengalami gangguan emosi beberapa minggu sebelum tragedi itu.

Berita ini disangkal sama sekali oleh anak perempuan beliau, Aishah Zaharie dalam catatannya di Facebook sambil menzahirkan: "Kepada Daily Mail, anda patut menimbang untuk membuat filem memandangkan anda memang cekap mengada-adakan cerita dan skrip".

Keghairahan memutar belitkan insiden ini akhirnya menarik perhatian Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein yang menasihatkan media khususnya wartawan asing supaya tidak menyebarkan maklumat palsu.

Semua ini, biarpun sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasi profesion wartawan namun majoriti masyarakat masih menaruh kepercayaan penuh kepada media tempatan dalam mendapatkan perkembangan terkini.

"Ini kerana, mereka (media tempatan) beroperasi berpegang kepada prinsip kewartawanan dan bertanggungjawab dalam laporan yang disampaikan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya.

LATIHAN MEMBANTU

Beliau ketika ditemubual Bernama berkata peranan editor dan 'house style' sesebuah organisasi media itu telah mendidik para wartawan melaporkan sesuatu kejadian berlandaskan fakta.

Dan, bukannya daripada sudut pandangan kontroversi kerana ia akan menjejaskan kualiti berita dihasilkan serta kredibiliti wartawan dan organisasi media dinaunginya.

"Editor, Ketua Pengarang akan memberi tunjuk ajar bagaimana melaporkan sesuatu kejadian kepada wartawan. Begitu juga sepertimana insiden MH370, mereka akan menentukan sama ada berita itu boleh digunakan atau tidak.

"Yang penting, laporan itu tidak sensasi, tidak spekulatif atau diputar belit kerana wartawan merupakan golongan penting menggalas amanah berat melaporkan berita muktahir," katanya.

Berbanding media barat yang lebih bercorakkan kebebasan, mereka nampaknya tidak begitu mementingkan etika dalam laporan masing-masing berikutan cenderung mencari kesilapan serta menimbulkan kontroversi berkaitan insiden itu.

PENUH CABARAN

Sememangnya, tragedi MH370 merupakan antara liputan mencabar bagi pengamal media. Puncanya masih menjadi misteri dan sehingga saat ini usaha mencari pesawat itu masih giat dijalankan di selatan Lautan Hindi.

Wartawan tempatan selain perlu menguasai bahasa Inggeris kerana kebanyakan sidang media dibuat dalam bahasa itu, mereka juga perlu bijak menangkis laporan media barat yang lebih bersifat kontroversi.

Persediaan perlu menyeluruh seperti mempunyai serba sedikit pengetahuan mengenai dunia penerbangan, terlatih serta cepat dalam pelaporan berita.

UNDANG-UNDANG

Menceburi alam pekerjaan penuh cabaran ini juga memerlukan mereka mengetahui undang-undang berkaitan bagi memastikan laporan dihasilkan bebas daripada elemen hasutan, fitnah dan perkara-perkara negatif lain.

Mengambil contoh insiden MH370, pengetahuan undang-undang merupakan benteng kepada komuniti ini supaya lebih berwaspada dalam laporan supaya tidak disaman atau diberi amaran akibat penulisan cuai.

Program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia antara yang diperkenalkan MPI turut menawarkan kursus undang-undang media selain kemahiran penulisan berkesan.

"Program ini kita khususkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam kewartawanan.

"Antaranya, mereka juga akan didedahkan mengenai kenegaraan seperti apa itu Parlimen, kehakiman, eksekutif semasa mengikuti program Zamalah" jelasnya sambil menambah kata program itu diperkenalkan pada 2011.

Walau apapun pengamal media harus menyedari mereka hanya boleh melaporkan berita yang sahih sahaja demi kepentingan semua pihak dan profesion itu sendiri.

MPI-GEDUNG ILMU

Dalam mendidik wartawan menjadi lebih matang, beretika dalam laporan mereka, tumpuan tidak hanya kepada peranan editor dan organisasi media yang dinaunginya itu.

Tetapi juga, Malaysian Press Institute (MPI) antara berjasa membantu wartawan muda khususnya dalam mencambah ilmu pengetahuan mengenai kerjaya penuh cabaran ini.

Boleh diumpamakan sebagai 'sekolah kecil', MPI yang ditubuhkan sejak tahun 1974 ini komited menawarkan pelbagai kursus, program kepada komuniti wartawan terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan media negara.

Menurut CEO Datuk Chamil Wariya, kursus jangka pendek itu bertujuan menajamkan pemikiran wartawan selain menekankan kepentingan berhati-hati dalam melaporkan sesuatu kejadian atau peristiwa.

"Wartawan ini 'knowledge worker', kena ada ilmu kerana pekerjaan mereka adalah memujuk (persuade) dan memaklumkan (inform) kepada masyarakat. Jadi, MPI cuba membantu mereka menambah ilmu dalam bidang tertentu.

"Antara kursus, Bengkel Pelaporan Konflik dan Zon Perang. Wartawan didedahkan bagaimana bertugas di negara bergolak. Ini, kami jemput wartawan berpengalaman yang pernah membuat liputan sedemikian sebagai tenaga penceramah," katanya.

Jumlah peserta mengikuti kursus di MPI menunjukkan peningkatan sebanyak 203 orang, iaitu 483 peserta tahun 2012 berbanding 280 peserta bagi tahun 2011.

FELLOWSHIP KEWARTAWANAN ANTARABANGSA

Dalam membantu melestarikan pengetahuan dan menajamkan pemikiran pengamal media, MPI turut menawarkan latihan dan kursus kepada wartawan muda dunia membangun menerusi Fellowship Kewartawanan Antarabangsa (eng: International Journalisim Fellowship (IJF)).

MPI yang lebih sinonim sebagai penganjur anugerah paling berprestij dunia wartawan, iaitu Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas yang membawa Hadiah Kajai bagi mengiktiraf karya wartawan terbaik, akan terus mara ke hadapan.

Tidak pernah rasa lelah walaupun usia penubuhannya kini sudah hampir 40 tahun, pelbagai latihan dan kursus akan terus ditawarkan oleh MPI untuk memberi serba sedikit pencerahan mengenai dunia ini kepada wartawan.

Semuanya, bagi membantu melahirkan wartawan penuh beretika, berintegriti yang hanya berlandaskan kepada laporan berkualiti, benar dan tepat.

Sakini Mohd Said BERNAMA

.......
Kangkung
http://tokeikangkung.blogspot.com/
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : Tranungkite.Net
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. Tokei Kangkung - All Rights Reserved
Terima kasih kepada Creating Website